KE ARAH KEHIDUPAN YANG LESTARI : KESAN CUKAI EKSAIS MINUMAN BERGULA TERHADAP PENGGUNA
TOWARDS SUSTAINABLE LIVING:THE IMPACT OF SUGARY DRINK EXCISE TAX ON CONSUMERS
Keywords:
Cukai gula, minuman bergula, analisis faktor, kos efektif, kesihatan awamAbstract
Impak negatif minuman bergula terhadap kesihatan mendorong kerajaan melaksanakan cukai eksais ke atas minuman bergula sebagai langkah intervensi. Oleh itu, objektif kajian ini dijalankan adalah bagi mengenal pasti kesan pelaksanaan cukai eksais terhadap pembelian dan perbelanjaan pengguna ke atas minuman bergula. Analisis penjelajahan faktor (Exploratory Factor Analysis/EFA) diaplikasi terhadap 388 responden yang terdiri daripada belia berusia 15 hingga 40 tahun di kawasan Lembah Klang. Kaedah EFA ini dapat merumuskan data agar hubungan dan corak kajian boleh ditafsir dan difahami dengan mudah. Hasil kajian mendapati bahawa cukai eksais ke atas minuman bergula mempengaruhi pembelian dan penggunaan pengguna melalui tiga faktor utama iaitu kesan terhadap harga, cukai sebagai strategi campur tangan kerajaan, dan kaedah kos efektif. Kenaikan harga minuman bergula akibat cukai menyebabkan pengguna beralih kepada minuman tidak bergula. Selain itu, pembatalan subsidi gula dan pelaksanaan cukai eksais dikenal pasti sebagai strategi berkesan dan kos efektif dalam mengubah tingkah laku pengguna. Oleh itu, cukai eksais ke atas minuman bergula dilihat mampu memberikan impak langsung terhadap tingkah laku pengguna secara efektif serta berpotensi kekal berkesan dalam jangka masa panjang.
Kata kunci: Cukai gula, minuman bergula, analisis faktor, kos efektif, kesihatan awam




